Kuala Lumpur, 30 Mac 2024 – Bank Simpanan Nasional (BSN) bersama Yang Berhormat Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II telah berkesempatan untuk mengunjungi Bazar Ramadan Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) bagi menyantuni para peniaga hari ini. Kunjungan ini juga dibuat bagi melihat penggunaan peranti BSN DuitNow QR Soundbox yang telah dibekalkan oleh BSN di kesemua 24 lokasi bazar Ramadan di Kuala Lumpur tahun ini.
Dalam majlis yang sama, BSN menerusi jenama Tanggungjawab Sosial Korporatnya (CSR), BSN Care turut mengagihkan 500 unit juadah berbuka puasa kepada komuniti di TTDI melalui program ‘BSN Care Ikhlas Ramadan՚. Antara penerima juadah berbuka puasa ini adalah Balai Polis TTDI, Balai Bomba dan Penyelamat TTDI, Masjid At-Taqwa TTDI serta pengunjung
di Bazar Ramadan TTDI. Inisiatif tahunan ini merupakan antara usaha BSN untuk mendekati komuniti setempat di samping berkongsi rezeki sempena bulan Ramadan.
Aktiviti CSR ini dilaksanakan di bawah salah satu segmen BSN Care iaitu ‘Komuniti’ yang mana BSN menyediakan peluang untuk menjana kehidupan yang mapan dan impak sosial.
Untuk maklumat lanjut mengenai terminal pembayaran dan aktiviti CSR BSN, layari laman sesawang BSN, www.bsn.com.my.